Jumaat, 21 Disember 2012

TERUS CINTAI AKU - ALEYA ANEESA

Terbitan : Alaf21
Harga : RM 23.00 / 579 mukasurat

"Nanti kalau dah besar, kita nak kahwin dengan awak. Kita janji nanti awak dengan kita duduk atas pelamin macam tu. Awak nanti tunggu kita, tau?"
Ungkapan janji itu telah Khilfie ucapkan pada Zalis semasa mereka kanak-kanak lagi. Walau telah terpisah hampir 16 tahun, bagi Zalis, janji tersebut masih kukuh digenggam. Jarak dan waktu yang lama tidak pernah mampu untuk menghilangkan ingatan Zalis pada Khilfie. 

Desakan mama Zalis menyuruhnya untuk pulang, rupa-rupanya menemukan dia kembali dengan Khilfie. Namun, janji itu hanya digenggam seorang diri bila Zalis mendapat tahu tentang berita pertunangan Khilfie. Terkejut dengan pertemuan dan berita yang diterima, Zalis tidak menjadi seperti dirinya. Keceriaan yang cuba dipamerkan nampak kaku pada pandangan mama, papa dan abang-abangnya. Mereka berusaha memberi semangat pada Zalis supaya kekecewaan yang dihadapi dapat diatasi dengan sebaik-baiknya.

Khilfie menggangap Zalis telah banyak berubah kerana Zalis seperti tidak mesra dengannya dan seperti cuba untuk menjarakkan diri daripadanya. Tetapi bagi Zalis, perasaan berjauh hati pada Khilfie masih terasa. Memang betul bukan salah Khilfie bila janji itu langsung tidak diingati. Tetapi bila Zalis menyoal Khilfie tentang zaman kanak-kanak mereka, tiada satu pun kenangan mereka yang Khilfie kenangkan, hati Zalis bertambah-tambah kecewa. Selama mereka terpisah, Khilfie langsung tidak mengingatinya. Langsung tidak kenangkan sejarah kanak-kanak mereka.

Sedaya upaya Zalis untuk tidak mengendahkan Khilfie, lelaki itu semakin kerap ditemui. Pada Khilfie, bayangan Zalis sentiasa diruang matanya walaupun ketika itu dia ada bersama Jaznita. Hati Khilfie mula merasakan satu perasaan yang lain bila bersama Zalis. Untuk mengelakkan Khilfie terus menganggunya, Zalis meminta bantuan Rehimi untuk menyamar sebagai kekasihnya. Kemunculan Abang Taufik, lelaki yang menyukai Zalis sejak dahulu membuatkan Khilfie semakin tidak senang duduk.

Sekeping gambar menjelaskan semuanya. Khilfie mula sedar yang perubahan Zalis selama ini adalah kerana dirinya. Kerana janji yang tidak ditepati. Dalam Khilfie berusaha untuk memperbetulkan keadaan, Zalis tidak dapat dikesan. Bantuan daripada abang-abang Zalis, membuka peluang pada Khilfie. Tapi hati yang terluka, pasti bukan mudah untuk dipulihkan. Antara Zalis dan Khilfie, tetap akan ada Jaznita dan Taufik.

Aleya Aneesa, antara novelis Alaf21 yang aku minat. Aku tau dia ada novel selain daripada keluaran Alaf21. Tapi yang tu, setakat nie hanya ada 1 jer dalam simpanan aku. Yang lain-lain, in shaa Allah, akan akan dapatkan jugak nanti. Komen aku tentang jalan cerita nie, satu jek. Best!!!! Aku suka dengan jalan cerita. Yang buat aku rasa macam sweet, hubungan antara abang dan adik. Ada abang-abang yang sangat protective. Abang-abang dan adik-adik lelaki aku pun sangat protect aku. Gila diaorang tak jaga budak perempuan nie. Hehehe.... Nama hero nie agak unik. Cuma bila baca tu kekadang terbelit lidah nie. Khilfie atau Khiflie. Ada jugak perasan kesilapan ejaan nama dalam novel tu. Tapi that's ok. Small matter rasanya. Janji aku faham siapa hamba Allah tu :) Tahniah tuk Aleya Aneesa atas cerita yang sangat-sangat santai, sweet, geram. Semua rasa ada. Hopefully dia akan terus sukses. Tak sabar nak dapatkan novel terbaru dia. Harap-harap, lepas aku tamat exam, aku boleh capai novel dia dulu :D Ops!!! Sebelum terlupa. Just nak bagitau. Aku suka cover nie. Pada pandangan aku, penggunaan colour betul-betul buat mata aku jadi relax ;)

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da....

♥ IaNda diaNa ♥
        

Rabu, 12 Disember 2012

TOLONG UPDATE BLOG, DIANA!!!!! ^_^

Hello Hai....;)

Lama gila tak update blog. Dah kenapa kan. Hehehe... Entahlah ek. Aku pun tak tau kenapa. Cuma aku rasa 2,3 bulan nie macam tak ada masa nak bukak blog, nak tulis apa-apa. Pandai carik alasan kan :)

Sebenarnya banyak benda nak update. Review novel-novel yang aku baca even masih banyak yang tak baca lagi. Itu belum termasuk novel yang orang bagi pinjam kat aku. Pastu nak update story mory pasal Destinasi Bajet. Bajet dari istilah aku. Hehehe.... Percutian ke Penang dan juga Hong Kong. Yeyyyyyyyy!!!! Sangat awesome. Nanti aku try cilok-ciloklah sikit dalam bulan nie. Minggu nie last class. Tapi, tapi, tapiiiiiiiii..... Bulan depan dah final exam ok. Rasa macam baru semalam aku bayar yuran. Tup-tup dah nak final. Cepat masa berlalu kan.

Oklah. Nanti saya yang comel lagi cute nie akan updatelah apa yang patut saya update. Sebab kalau tak update, saya sendiri akan lupa apa yang saya dah pernah buat selama nie. Makin tua kan. Hehehe....

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da....

♥ IaNda diaNa ♥
 

Khamis, 18 Oktober 2012

KALAU MEMANG HARUS BEGITU - ACIK LANA


Terbitan : Kaki Novel
Harga : RM 36.00/1031 mukasurat

Kedatangan Nur Adara ke pejabat Zidan Adiputra untuk bekerja sebagai tea lady rupa-rupanya tidak seindah yang diharapkan. Sangkanya kerja sebegitu tidak terlalu merumitkan tetapi kerana kecuaiannya menumpahkan air pada Putra membuatkan Adara terikat dengan lelaki itu. Apa sahaja yang dilakukan oleh Adara sering dibalas dengan jerit pekik Putra. Lebih-lebih lagi bila melihat penampilan Adara yang selekeh. Dengan baju kurung lusuh dan kasut yang hampir terkoyak, betul-betul merimaskan kepala Putra. Untuk membuatkan Adara berhenti kerja dengan sendirinya, pelbagai cara dilakukan oleh Putra supaya gadis itu segera lenyap daripada pandangannya.

Riyad, sepupu Putra yang pertama kali melihat Adara mula merasakan sesuatu pada gadis itu. Seperti ada yang istimewa menarik hatinya untuk mengenali Adara walaupun ketika itu dirinya sudah ada Kyra yang jauh di luar negara. Bila tahu penampilan Adara menjadi punca yang selalu mengundang kemarahan Putra, Riyad mula melakukan perubahan pada Adara. Siapa sangka kerana perubahan itu telah membuka mata Putra pada Adara. Putra yang rasa dirinya seperti sudah jatuh cinta pada Adara, berusaha untuk menjauhkan Riyad dan Adara. Daripada seorang tea lady, Adara diangkat menjadi setiausahanya. Semuanya hanya kerana ingin Adara sentiasa ada dekat dengannya.

Perubahan Putra memeningkan Adara. Adara lebih senang bila lelaki itu memarahinya dan bukannya berlembut hingga membuatkan dirinya sendiri rasa disayangi. Keadaan bertambah rumit bila Putra mendapat tahu ada seseorang telah menghantar rombongan meminang Adara. Semuanya gara-gara Midi, gengster kampung yang telah lama meminati Adara menggunakan alasan hutang atuk Adara sebagai galang gantinya. Hutang selesai dengan syarat Adara menjadi miliknya. Namun, tindakan pantas Putra menyelesaikan segala-galanya. Midi yang disangka menjadi tunangannya, berubah kepada Putra membuatkan Adara pengsan pada hari pertunangannya. Melihat sikap Putra yang bersungguh-sungguh menerima dirinya dan keluarga seadanya, hati Adara akhirnya terbuka sepenuhnya untuk menerima Putra. Dalam mereka meniti bahagia, ada sahaja perkara yang datang menguji kebahagiaan mereka. Putra menuduh Adara pembunuh, Riyad datang mengambil kesempatan. Melissa pula bakal berkahwin dengan Putra. Yang pahit pasti ada manisnya. Bahagia perlu dicari, kepercayaan perlu digenggam dengan sejujur-jujurnya jika itu kehendak mereka bersama.

Don't worry. Semua cerita tetap akan berakhir dengan ending yang menggembirakan walaupun dalam realiti bukan itu yang mampu kita duga kan :) Nie novel Acik yang ketiga aku baca selepas Aku Bukan Mistress dan Maaf Jika Aku Tak Sempurna. Nanti ada masa aku buat review pasal dua novel tu yer. Insyaallah :) Komen aku simple. Aku boleh terima jalan cerita nie walaupun kalau baca kat forum, ramai jugak yang macam tak boleh terima. Tu citarasa masing-masing kan. Kalau siapa yang pernah baca karya Acik selama nie, sure akan tau yang Acik punya adegan romantik memang agak berada di skala 8/10. Hahaha... Apa maksud tu? Maksud aku senang jek. Bab romantik nie Acik uraikan lebih mendalam tapi tak adalah sampai dianggap lucah pulak. Cuma pendapat aku, range umur yang membaca nie agak kurang sesuai untuk budak-budak kot. Cuma bak kata Acik, kita semua dah besar. Boleh tau nak bezakan mana yang baik, dan mana yang buruk. So, as a conclusion, I ok jer dengan cerita nie ;)

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da.....

♥ IaNda diaNa ♥ 

Selasa, 9 Oktober 2012

3 JANTUNG HATI - NISYAH

Terbitan : Jemari Seni
Harga : RM 19.00 / 452 mukasurat

Cinta Nadira pada Imran tetap utuh walaupun lelaki itu telah lama meninggalkannya dan jantung hati mereka, Ensha Hani. Walaupun pada mula hidupnya terumbang ambing setelah kematian Imran, namun bantuan Oya, sahabat baik Nadira yang membesar bersama-sama di rumah anak yatim menghasikan O&D Party Planner dalam hidup mereka. Bertindak sebagai perangka majlis, pelbagai ragam pelanggan ada masanya memeningkan Nadira dan Oya. Namun bila majlis yang berlangsung berjalan dengan lancar dan memberikan kepuasan kepada semua tetamu, itu perkara yang paling menggembirakan Nadira.

Dalam hidup Nadira, tiada cinta lelaki lain selain dari Imran seorang. Kemalangan kecil yang menimpanya semasa berbasikal bersama Ensha di FRIM, menemukan Nadira dengan Nadim Shah. Pertemuan pertama menggetarkan hati Nadim namun bagi Nadira, lelaki itu menyebabkan hidupnya jadi kucar kacir. Kehilangan Ensha membuatkan rasa marah Nadira pada Nadim semakin bertambah. Nadim yang sudah jatuh sayang pada anak kecil itu mula berusaha untuk memenangi hati Nadira. Ensha menyenangi sikap Nadim dan merasakan lelaki itu seperti babahnya. Dalam usaha untuk memikat Nadira, usahasama antara Ensha dan Nadim banyak membuatkan Nadira terpaksa mengalah. Sikap Nadim yang semakin lama semakin disenangi, akhirnya membuka pintu hati Nadira untuk menerima Nadim dalam hidupnya dan Ensha.

Tentangan daripada bonda Nadim menyukarkan keadaan. Puan Sri Suhaida telah merancang terlebih dahulu untuk menyatukan Nadim dengan Sofea, anak kenalannya, Datin Muhaini. Bila tahu kehadiran Nadira bakal merosakkan rancangannya, pelbagai usaha dilaksanakan termasuk mengupah seseorang untuk menghapuskan Nadira. Tindakannya itu akhirnya terbongkar dan diketahui Nadim sehingga bertindak meninggalkan rumah Puan Sri Suhaida. Rasa kehilangan Nadim membuatkan Puan Sri Suhaida berubah. Rayuan dipinta daripada Nadira untuk memujuk Nadim supaya kembali semula kepadanya. Nadim dan Nadira yang merasakan Puan Sri Suhaida telah menyesal langsung tidak mengetahui bahawa ada rancangan lain yang bakal melukakan hati mereka. Pertunangan antara Nadim dan Sofea semasa ketiadaan Nadim di Malaysia, menghancur lumatkan hati Nadira. Keputusan muktamad dilakukan. Nadim harus dijauhkan daripada hidupnya dan Ensha Hani. Pemergian mereka ke Miri mengubah segala-galanya. Antara bahagia dan kehendak orang tua, akan ada yang perlu mengundur diri dan mengalah.

Pertama kali baca karya Nisyah hasil saranan Kak Qimi dan forum Cari.Com. Thank's Kak Qimi sebab novel nie buat saya rasa berbunga-bunga. Hehehe... Karektor Nadim yang aku rasa sangatlah hero dan gentleman. Pendapat aku. Kot korang baca tak rasa benda yang sama, tak dapatlah den nak nolong kan ;) Jalan cerita best. Aku suka. Gaya penulisan Nisyah pun aku rasa matang. Macam sesuai sangat-sangat dengan usia aku nie. Tak kebudak-budakan sangat, tak matang sangat. Sangat ok bagi aku. Kisah Nadim, Nadira dan Ensha yang pada aku memang ada berlaku dalam dunia realiti nie. Bukan senang nak jumpa lelaki yang akan sayang kita sungguh-sungguh kan. Ker aku jer yang tak jumpa lagi. Hahaha.... Apa pun tahniah tuk Nisyah sebab bawak aku dalam dunia 3 Jantung Hati. Sayang Nisyah juta-juta ;)

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da.....

♥ IaNda diaNa ♥

 

Selasa, 18 September 2012

CONTENGAN JALANAN - HLOVATE

Terbitan : Jemari Seni
Harga : RM 21.00/553 mukasurat

I - FEND
Fend, pelajar jurusan fotografi merangkap freelance photographer hidup dengan caranya sendiri. Tidak perlu merancang kerana jika sudah tersurat, pasti akan berlaku juga. Berfikiran jauh bagi Fend akan buat kadang-kadang manusia ini berangan sahaja dan tidak membawa diri kemana-mana. Masanya hanyalah untuk belajar, fotografi, melukis dan jamming bersama-sama K2 (K-Square), Azad, Pa'an dan Erdi. Pertemuan Fend dengan Lia mengubah satu persepsi erti hidup dalam diri Fend. Ungkapan 'The Man That Decided To Change On The 12th Hour Dies On The 11th' yang terbit dari Lia menyebabkan Fend tercari-cari maksud sebenar. Gadis yang tahu segala-galanya tentang underground scene berubah mengikut sesuatu benda lain yang lebih baik daripada itu.

CD pemberian Lia tentang filem pendek The 11th Hour merungkai maksud yang selama ini dicari. Jalan cerita tentang mereka yang ingin berubah sebelum tibanya ajal. Pelawaan Chad, sepupu Fend untuk mereka melakukan backpacking ke Australia pada bulan puasa betul-betul meninggalkan kesan pada Fend. Mereka ke sana untuk cari erti hidup. Hanya menginap di masjid dan bukannya hotel berbintang-bintang, mereka menghayati bulan Ramadhan sepenuhnya. Bagi Chad dan Fend, Ramadhan kali ini paling bermakna dalam hidup mereka. Makna untuk memaknakan hidup yang sebenar. Kematian Chad pada 1 Syawal memberi kesan yang sangat besar dalam hidup Fend. Tapi dia bersyukur bila Chad pergi setelah dapat mencari erti hidup yang sebenar dan diredhai DIA.

II-K2 (K-SQUARE)
Hidup K2 sama seperti Fend. Apa yang berlaku semuanya mengikut kata hatinya. Apa yang dilakukan atas kehendaknya sendiri bukan disebabkan orang lain. Perubahan Fend sejak kematian Chad menimbulkan tanda tanya pada K2. Tidak pasti apa yang berlaku pada Fend adakah disebabkan oleh kematian Chad, pemergian Chad dan Fend ke Australia atau pertemuan Lia dan Fend. Tetapi yang jelas di mata K2, sejak ketiadaan Chad, Fend benar-benar berubah menjadi pendiam, tidak mahu berjumpa orang dan lebih suka bersendirian. Namun K2 tahu ada benda yang lebih besar yang mengubah diri Fend.

Apa yang pernah dilakukan oleh Chad dan Fend dalam mencari erti hidup, turut dilakukan oleh Fend bersama K2. Apa yang Fend rasakan masih belum dapat dirasai sepenuhnya oleh K2. Tetapi semakin lama K2 mula merasakan dia perlu untuk mencari erti hidup dalam dirinya. Pemergian ke Jakarta, kota yang erti hidupnya berbeza benar-benar mengubah K2 menjadi yang lebih baik. Benarlah. Hati manusia ini hanya Allah yang pegang dan diri sendiri sahaja yang mampu mengubahnya dengan izin DIA.

Novel ke-6 Hlovate yang aku dah baca dan ada dalam simpanan. Tak payah nak fikir panjang, memang aku tabik dengan gaya penceritaan dia nie. Sempoi, happy, sedih dan dalam masa yang sama akan insafkan orang yang membaca. Aku sedih sangat time Chad meninggal. Tak sangka Chad boleh 'mati' dalam cerita nie. Oh! Lupa nak bagitahu. Ada 2 cerita dalam buku nie. Tapi dua-dua cerita nie memang berkait rapat pun. Pasal Fend dan K2. Cover dia pun bagi aku agak menarik sebab takder pun sinopsis yang kita boleh baca dekat belakang buku. Kira berani jugaklah kan bila buat cara macam nie. Maklumlah, macam aku kalau tak baca sinopsis, memang agak payah nak beli. Tapi sebab aku dah biasa dengan novel-novel Hlovate, memang tak ada masalah nak fikir samada nak beli atau tak :) Tahniah Hlovate dari aku untuk semua hasil air tangan ko. Siapa pun ko, apa pun yang ko buat, dekat mana pun ko berada, terima kasih lagi sekali dari aku. Sebab ko betul-betul ajar aku untuk berubah menjadi lebih baik dan carik makna hidup dalam diri aku. Terima kasih banyak-banyak. Aku sayang ko :)

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da.....

♥ IaNda diaNa ♥

Ahad, 16 September 2012

LAZUARDI - NASZ

Terbitan : Jemari Seni
Harga : RM 23.00 / 629 mukasurat

Hidup Anaz tidak semudah seperti Odie, Lily dan Nueq. Mama Anaz langsung tidak melayannya seperti anak kandung. Urusan rumah semua terletak di bahunya. Bila tidak diuruskan, pasti mama Anaz akan mengamuk dan mengeluarkan kata yang sudah lali didengari. Ada masa Anaz merasakan dirinya adalah anak tiri dan bukannya Lily dan Nueq. Tempat Anaz meluahkan perasaan adalah pada Odie, kawan sebelah rumah yang dikenali sejak tadika.

Lily sering sahaja menguji kesabarannya. Apa sahaja milik Anaz pasti ingin direbut oleh Lily hanya dengan mengadu pada mamanya. Dan Anaz pastinya tidak akan mampu membantah. Kedatangan Ain menjarakkan hubungan Anaz dan Odie. Ain yang kelihatan seperti perempuan sopan santun rupa-rupanya memiliki sikap yang tidak baik. Ada sahaja perkara dilakukan untuk menjadikan Anaz pesalah pada mata semua orang.

Shark, kawan baik Nueq telah lama menyimpan perasaan pada Anaz. Namun bila kehendaknya itu ditertawakan rakan-rakannya, hasrat terpaksa dipendam memandangkan kata rakan-rakannya takkan ada perempuan berusia inginkan remaja yang masih bersekolah sepertinya. Salah faham yang timbul memadamkan hasrat Shark bila Shark mengetahui yang Odie dan Anaz sedang bercinta. Masa berlalu, kehadiran Shark secara tiba-tiba di rumah Anaz merungkai segala-galanya bila tahu antara Anaz dan Odie ada Ain. Tindakan perlu diambil. Shark berterus terang dengan Anaz tentang isi hatinya. Sikap Shark akhirnya membuka pintu hati Anaz yang ragu-ragu untuk menerima cinta lelaki itu pada mulanya. Janji dimeterai dengan syarat perkara ini tidak perlu dihebahkan pada sesiapa.

Sikap Ain makin lama semakin menghuru harakan hidup Anaz sehingga dia dihalau keluar dari rumah dan dibuang oleh mamanya sendiri. Lamaran Shark Anaz terima bila sikap mamanya terlalu kejam sehingga sanggup melaporkan pada pihak polis bila Anaz ingin kembali ke rumah. Tiada tempat ingin dituju, lamaran tersebut adalah jalan terbaik buat diri Anaz untuk bergantung harap. Perkahwinan mereka berjalan lancar dari sehari ke sehari walaupun Anaz di Malaysia, Shark menghabiskan pengajiannya di UK.

Pemergian Nueq dan abah Anaz akibat kemalangan jalanraya yang berpunca daripada Odie menemukan Anaz dan mamanya kembali. Mama yang diserang strok perlu dijaga memandangkan Lily jauh di UMS dan Ain pula bersikap lepas tangan. Budi baik Anaz itu rupa-rupanya mengundang derita bila dia mula mengetahui yang dirinya adalah anak haram. Jadi persoalan mengapa mama membencinya selama ini terjawab. Rasa diri sangat terhina mengheret Anaz membuat keputusan untuk menjauhkan diri daripada Shark. Lafaz cerai dipinta kerana bagi Anaz, Shark lebih layak mendapatkan perempuan yang lebih sempurna. Ain berusaha mengoda Shark. Odie pula sentiasa ada dalam hidup Anaz. Antara Shark dan Anaz, adakah bahagia milik mereka?

Nie novel kedua Nasz yang aku dah baca. Secara jujurnya aku boleh masukkan cerita ini dalam pebret list aku walaupun aku mengharapkan ending yang lagi panjang. Macam nak balas kaw-kaw dekat Ain yang jahat gila tu. Boleh tak? Hehehe.... Watak Shark dan Odie pun aku suka sebab bagi aku diaorang nie lelaki yang bila sayang perempuan, akan sayang sungguh-sungguh. Karektor Anaz pada aku ok. Kesian kadang-kadang bila Ain senget tu buat dia macam-macam. Ada masa Anaz tegas, menjawab bila Ain tu berlakon lebih. Tapi ada masa dia macam redha jek. Agaknya dah penat nak layan perempuan sakit mental tu kot ;) Apa pun tahniah Nasz sebab bawak aku dalam dunia Anaz, Shark dan Odie. Aku sayang ko dengan semua 'pelakon-pelakon' ko. Moga terus sukses ok. Amin ;)

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da.....

♥ IaNda diaNa ♥
 

Khamis, 30 Ogos 2012

BURGER BAKAR DAN BURGER UJANG

Hello Hai....;)

Salah satu makanan kegemaran aku adalah burger. Tapi aku lagi suka burger daging compare dengan burger ayam. Sama jugak kalau makan sate. Biar banyak daging. Ayam tak ada pun tak apa. Tapi kalau makan dekat Mc'Donalds, aku pilih ayam spicy daripada burger yang bersusun-susun tu. Moralnya, ada makanan berdaging aku suka. Ada yang tak. Macam tu jugak dengan ayam :)

Sebelum puasa lagi, aku baca dekat FB orang sibuk cerita pasal Burger Bakar. Dalam hati tu memula taklah sibuk sangat nak merasa. Tapi bila puasa, faham-fahamlah kan. Tapi aku baik sikit tau tahun nie. Dapat kawal nafsu. Rasanya sebulan puasa nie, cuma beberapa kali jer pergi Pasar Ramadhan. Kalau tahun lepas, boleh dikatakan hari-hari Pasar Ramadhan tu mengadap muka aku. Ish! Ish! Ish!....




Ambik ko!!!! Sekali beli, 2 ok. Memang tamak. Tapi time nie aku buka puasa dengan burger jer tau. Buka makan yang double tu. Tengah malam, makan yang single. Tak membazirlah kan. Hehehe.... Percubaan pertama dengan Lagoon Puteri (double) dan Teriyaki (single). Aku beli nie kat Jalan Utama, Kampung Melayu Majidee. Bukak kat FB JB Burger Bakar, tengok diaorang ada post gambar gerai burger kat situ. Tengok ada nombor phone, aku pun try sms Adam. Order siap-siap sebab takut ramai pulak. Malas nak menunggu. So, bila sampai, memang dah siap, aku bayar, terus balik. Senang kan :) Adam pun ok. Peramah orangnya. Lagipun mesti dia nak jaga hati pelanggan kan. Nanti kalau akak teringin lagi nak makan, akak beli lagi ek ;)

Komen aku, bolehlah. Nak kata sedap pun tak, tak sedap pun tak. Cuma aku nie jenis suka burger yang melimpah ruah. Maksud aku sos dengan mayonis terlebih-lebih. Macam Lagoon Puteri tu dia agak kering. Cuma daging dia memang puas makan. Tebal dan lembut. Part tu yang aku suka ;)



Yang nie pulak burger double daging yang terlebih mayonis daripada Burger Ujang. Aku sendiri request kat adik yang jual tu letak mayo banyak-banyak. Hehehe... Burger nie tak ada jual kat merata tempat. Rasanya kat Kluang jer. Lebih tepat dekat Taman Fajar. Hah! Terliuq tak? Aku suka burger dia nie sebab sedap. Makanan yang sedap mestilah orang akan suka kan. Pelanggan dia pun boleh tahan ramai. Bagusnya sebab dia 1 gerai tapi ada 2 pasang pekerja yang buat kerja yang sama dalam 1 masa. Faham tak? Senang cerita, 2 orang goreng burger, 2 orang tolong bungkus. Ramai macam mana pun, korang takkan tunggu lama punya. Sekejap jer dah dapat. Ada jugak diaorang jual pau. Lembut dan sedap. Sedap jerlah memanjang ko Diana kalau bab makan!!!!! ;p

Ok, done ;)

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da....

♥ IaNda diaNa ♥

Jumaat, 24 Ogos 2012

CARA MEREKA BERTUDUNG

Hello Hai....:)

Kalau diperhatikan sekarang nie ada bermacam-macam gaya bertudung. Yang labuh, yang singkat, pusing sana, pusing sini. Macam-macam kan. Tapi kena ingat. Berfesyen macam mana pun, apa yang dituntut dalam Islam kenalah dipraktikkan. Bukan nak mengajar korang semua. Aku pun idaklah baik mana pun kan. Tapi kita semua kan adik beradik seagama. Apa yang aku tahu, aku baca, elok rasanya aku kongsi dengan korang kan :)


 
Apa yang baik kita ikut, apa yang kurang baik, kita cuba elakkan. Tak ada siapa larang aku atau korang nak berfesyen segala. Tapi kita semua nie kan dah besar. Rasanya masing-masing boleh buat apa yang terbaik untuk diri mereka sendiri kan ;)

Sekarang nie aku nak kongsi dengan korang gambar-gambar artis yang aku suka tengok bila mereka bertudung. Heliza Helmi, Diana Amir, Nora dan Irma Hasmie. Walaupun pada mulanya mereka nie bertudung bukanlah labuh seperti sekarang, tapi manusia kan. Dari sehari ke sehari pasti akan berubah ke cara yang lebih baik. Aku nak jugak macam nie. Mudah-mudahan :)










Gambar dan artikel nie semua aku dapat dari Mr. Google dan FB HelizaHelmi. Semoga artikel yang tak seberapa nie aku dapat kongsi dengan korang semua :)

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da....

♥ IaNda diaNa ♥
 

Khamis, 23 Ogos 2012

DUIT RAYA RM150

Hello Hai...:)

Suasana raya masih terasa walaupun raya keempat aku dah mula kerja. Dekat opis terasa sangatlah sunyi. Maklumlah, unit masing-masing yang ada pun cuma sorang dua jek. Hari nie aku sorang-sorang kat unit aku. Sebab yang lain sambung dan masih bercuti. Walaupun sunyi, rasa tenanglah plak. Kalau boleh, hari-hari nak macam nie. Boleh ker? ;)

Ok. Nak cerita pasal duit raya. Yang seronok berdouble-double raya nie kan budak-budak. Sebab apa? Sebab dapat duit rayalah. Mau tak suka. Sekali bukak sampul RM10, RM20. Paling sikit pun rasanya RM2 atau RM5. Kalau RM2 tu 100 orang yang bagi (pakcik, makcik, sepupu besar-besar), tak ker boleh jadi ratus. Kayo, kayo. Aku siap suruh anak buah aku belanja Mc'D lagi. Hahaha... Buruk punya perangailah Mak Lang ;p Cakap jer. Tapi time bayar, auntie diaorang yang comel nie jugak yang kuarkan duit. Comel + baik = itulah aku. Apa pun tak boleh oiiiiiiiiiiii!!!! Puji diri sendiri. Meluat! ;)

Rasanya aku dapat duit raya last time aku umur 21 atau 22 kot. Lama gila tak dapat. Maklumlah, dah besau, kerja pulak tu. Saperlah nak bagi kan. Tetiba tahun nie, murah rezeki jadinya. Aku dapat RM150. Yehhhhhhhhhhh!!!!! Macam tak percaya bila ada yang hulur sampul duit raya. Ingat memain. Sekali bukak dalam, wahhhhhhhhhhhhhhhh. Boleh beli novel banyak-banyak. Hehehe... Untuk mereka-mereka yang bagi aku duit raya tu, mekasih banyak-banyak. Mudah-mudahan rezeki mereka akan berlimpah ruah sampai bila-bila. Amin, amin. Tahun depan bagi lagi ek ;)

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da....

♥ IaNda diaNa ♥
 

Jumaat, 17 Ogos 2012

KAD RAYA, HADIAH DAN NOVEL DI BULAN RAMADHAN

Hello Hai....:)

Raya zaman sekarang nie nak dapat kad raya bukanlah perkara yang pasti. Teknologi dah canggih kan. Just letak gambar kat FB, wish kat semua orang dah mudah. Tak pun malam raya, hantar sms Selamat Hari Raya dekat semua orang. Bukan kata orang lain. Aku sendiri pun sama. Zaman-zaman pos kad raya nie dah lama tak terbuat. Last rasa zaman belajar dulu kot. Time dah kerja, emmmmmmm.... Tertinggal dah semua tu. Tetiba rasa rindu dengan aktiviti 'mengepos' kad-kad raya nie. Boleh macam tu? ;)

Tak sangka Ramadhan tahun nie ada yang bagi kad raya. Seronoknya bila dapat. Yehhhhhhhhhhh!!!! Seronok mengalahkan macam budak-budak pulak rasanya ;) Pastu ada yang bagi hadiah belated besday. Wah! Kad raya dapat, hadiah pun dapat. Alhamdulilah. Mekasih pada awak-awak yang bagi pada saya semua itu. Hehehe....



Kad raya pertama. Nie daripada Win, adik Mizz_IjauTerkoish. Kreatif kan diaorang. Pandai buat macam nie. Emmmm... Tahun depan nak buat macam nie jugak lah ;)



Yang nie pulak daripada kakak novelis aku, Kak Lynn Dayana. Terkejut bila nampak atas meja opis ada kad. Tengok setem dari Selangor. Tak dapat fikir siapa yang bagi. Bila bukak dalam, rupa-rupanya dari Kak Lynn. Mekasih banyak-banyak kakak :)



Hah! Yang nie lagi 1 cerita. Patutlah beriya-iya dia tanya aku alamat opis. Pandai heh awak berpura-pura. Ada sotong di sebalik tomyam rupanya. Hehehe... Bila aku tanya, dia kata nie hadiah belated besday. Dalam pada orang hantar kad raya, awak bagi saya hadiah pulak kan. Sayang awak Mizz_IjauTerkoish berjuta-juta kilometer ;)



So, sekarang nie saya ada 2 kucing dan 1 burung. Yehhhhh!!!!! ;)



Ok. Yang nie tak ada siapa pun bagi. Nie aku beli sendiri. Baru sampai semalam. Orang sibuk beli baju raya, kasut, handbag baru, aku sibuk beli novel. What to do ;) Macam biasa aku beli kat Jemari Seni. Beli 2 dapat free postage dengan diskaun 20%. Kan best tu. Hehehe....

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin daripada aku untuk korang semua. Hati-hati memandu di jalan raya. Ingat orang tersayang. Aku tak cuti pun raya nie. Rabu dah kerja. Simpan cuti untuk ke Hong Kong bulan November nanti. Insyaallah. Jangan lupa kawan-kawan semua. Jaga diri, jaga kesihatan ok ;)

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da.....

♥ IaNda diaNa ♥

Khamis, 16 Ogos 2012

ADIK-ADIK SINAR CAHAYAKU

Hello Hai....:)

Kebetulan masa aku tengah belek-belek FB, aku terbaca status Fahrin Ahmad pasal program Garnier Sinar Cahayaku. Bila baca apa yang perlu dibuat, aku terus jer buat kad ucapan Hari Raya yang simple untuk adik-adik aku. Ingat tak entry aku yang lepas pasal keinginan aku untuk jumpa Fizi dan Ahmad? Mungkin aku boleh cuba ini jugak untuk jumpa adik-adik yang lain. Kalau ada rezeki, insyaallah kan :)

Cara nie simple saja. Korang buat kad raya, then tulis ucapan untuk mereka dan korang boleh post atau emel kad tersebut. Kalau nak lagi detail, korang boleh click dekat laman FB dan tengok video di bawah nie yer.



Tersenyum aku bila tengok video nie. Insyaallah, kalau dah tertulis aku akan jumpa mereka semua, insyaallah akan jadi kenyataan. Kalau tak, mungkin bukan rezeki aku. Tapi tak apa. Mana tau impian akan jadi kenyataan 1 hari nanti. Siapa tahu kan. Mudah-mudahan. Amin, amin :)

Nak tengok kad raya daripada aku untuk adik-adik aku? Simple, tapi ikhlas untuk mereka. Kalau tak menang tak apa. Aku harap ada antara mereka yang terbaca kad raya aku nie. Hehehe.....


Simple kan ;)

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da.....

♥ IaNda diaNa ♥

Selasa, 14 Ogos 2012

FIZI DAN AHMAD

Hello Hai....

Tinggal beberapa hari lagi kita semua akan sambut Aidilfitri kan. Macam mana persiapan korang semua? Aku harap semuanya berjalan seperti yang dirancang. Aku? Tahun nie sambutan tetap macam tahun-tahun sebelum ini. Sederhana, tetap raikan bersama keluarga tersayang :)

Rasanya video dari BERNAS nie semua orang dah tengok kan. Kerana 2 orang kanak-kanak yang comel nie, airmata aku bergenang. Belum sampai jatuh. Tapi jenis aku yang hati 'kecik' nie, memang sangat-sangat tersentuh dengan jalan cerita tu. Bukan semua manusia kat muka bumi nie bertuah kan. Tapi kena ingat. Apa pun dugaan DIA, pasti semuanya ada hikmah. Andai ada peluang, aku nak sangat-sangat jumpa Fizi dan Ahmad nie. Insyaallah. Mana tahu kata-kata aku di bulan Ramadhan nie akan jadi kenyataan. Siapa tahu kan. Amin, amin :)

Jumaat, 27 Julai 2012

MISI 'MENGIKAT JANJI'

Hello Hai...:)

15 Julai lepas seminggu sebelum puasa, misi 'mengikat janji' berjalan seperti yang telah dirancang. Siapa pulak yang bertunang? Cubalah teka. Hehehe... Main teka-teka pulak. Bukan dapat hadiah pun kan :) Adik bongsu aku yang bertunang. So, sebagai kakak dia ada dekat rumah, hantaran dia tu 'terpaksalah' aku hias dengan tema simple tapi comel. Hahaha... Tema tu aku yang buat sendiri. Maklumlah, aku bukanlah seorang yang sangat kreatif dalam hal-hal macam nie. Tapi aku nak make sure apa yang aku buat tu taklah buruk sangat. Nanti mak aku bising pulak. Adik aku lelaki, jadi apa jer yang aku buat, dia redha jerlah ;) Nasib aku baik sangat-sangat sebab dapat bantuan kakak ipar aku. Dia nie expert sikit bab-bab macam nie. Cuma tak dapat nak tolong sangat sebab dia sampai umah mak aku pun lewat. Ada keje. Tapi alhamdulilah sebab dia tolong jugak :)

Bakal adik ipar aku orang Melaka. Tak jauhlah Kluang - Melaka kan. Lebih kurang dalam 2 jam atau 2 jam setengah macam tu. Majlis nie aku rasa simple sangat-sangat. Itu memang kehendak dua belah pihak. Family aku pun yang menghantar rombongan nie cuma kami adik beradik, Mak Inah ngan abang sepupu aku (yang ikut trip pergi Langkawi dulu) dan Pak Long aku. Walaupun simple dan tak ramai yang terlibat, alhamdulilah semuanya berjalan lancar. Itu yang penting kan. Mehlah layan gambar-gambar yang tak seberapa nie :) Eh! Cop. Lupa nak bagitau. Hantaran tak banyak pun. 3 daripada lelaki, 5 balasan daripada perempuan ;)


 Yey!!!! Dah nak sampai :)



Ahli rombongan :)


Tak muat ker cincin tu? Hehehe...


Mak Inah, Lin (adik ipar in future, insyaallah) dan Mak :)


Hantaran daripada Lin :)


Hantaran daripada Wawan and the geng :)


Buah-buahan. Kakak ipar aku yang hias :)


Nie plak sireh junjung versi moden. Hehehe... Aku punya kerjalah nie. Aku tak pandai nak buat yang tinggi-tinggi tu kan. Jadinya aku buat kesimpulan, inilah jadinya. Semua aku pakai bunga hidup sebab nak dapatkan kesegaran. Kononnyalah. Hahaha... Duit aku masukkan dalam frame, cincin aku letak atas bunga, then serumpun bunga dengan sireh tu aku ikat sekali. Ala-ala bunga tanganlah kalau orang dok kawin tu. Imiginasi tinggi, tapi hasilnya nie jerlah yang mampu aku buat. Aku banggalah dengan hasil aku yang simple nie walaupun ada yang cakap macam orang malas buat. Arghhhhh!!! Lantaklah. Janji aku happy dengan hasil aku. Yeyyyyyyyyyyyyyy!!!!! ;)


Last sekali, aku lah nie. Hehehe... Nak jugak tunjuk apa aku pakai. Tak adalah gah mana pun. Cuma nak tunjuk shawl tu jek. Aku beli online. Dekat mana? Seperti biasa, salah satu blog online yang paling aku suka - Radiusite. Walaupun mulanya aku rasa macam overlah pulak pakai manik-manik nie kan. Tapi redah jerlah. Yang penting, shawl tu dapat dilabuhkan dengan sebaik-baiknya. Itu yang aku suka :)

Majlis berakhir lebih kurang sebelum Asar. Makanan yang family Lin sediakan adalah nasi ayam, kuih, buah, air tebu, bubur kacang. Banyak sangat-sangat. Air tebu tu yang aku paling banyak minum. Sebab manis dan sedap :) Abang aku cakap, tebu tu import khas daripada kebun abah Lin. Bagus betul orang ada kebun sendiri nie kan. Senang ;) Lebih kurang dalam jam 5.30 petang, kitaorang semua mula gerak balik. Sampai Kluang hampir-hampir pukul 8.00 malam. Walaupun penat tu terasa, tapi bersyukur sebab semuanya dipermudahkan. Semoga ikatan antara Wawan dan Lin ini akan berjalan dengan lancar dalam tempoh setahun nie. Insyaallah.

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da.....

♥ IaNda diaNa ♥

Khamis, 26 Julai 2012

CERREK - PERCUBAAN PERTAMA

"Tak apa ker Ian kita buat macam nie?" Pertanyaan Wita mematikan langkah aku dan Eva.

"Tak apa kot." Aku jawab perlahan sambil pandang sekeliling. Ruang lobi resort nampak sunyi walaupun kawasan parkir dipenuhi kereta. Pasti semuanya sedang berehat di bilik waktu-waktu begini.

"Kot???" Wita membesarkan matanya. Jawapan Ian langsung tidak melegakan hatinya yang sedang berkecamuk.

"Yalah. Aku mana tahu ok ker tak apa yang kita nak buat. Kan first time kita nak buat jahat nie." Aku tergelak kecil namun hanya seketika bila Wita melemparkan jelingan tajamnya.

"Tak jahat sangat rasanya. Kita nak pancitkan tayar kereta jer kan. Bukan nak bunuh orang pun." Eva yang dari tadi berdiam diri mula bersuara.

"Hah! Tengok nie. Eva ok jer. Relaxlah Wita. Kita bukan nak buat apa sangat pun kan. Kau sayang aku kan? Tolonglah aku yer." Aku merayu dengan mata yang sengaja aku layukan. Buat-buat kesian!

"Bukan dapat faedah apa pun buat semua nie." Wita masih dengan rungutannya.

"Kurang-kurang aku rasa puas hati." Aku tersenyum nakal. Eva yang menjadi pemerhati hanya menggelengkan kepala melihat pertelingkahan kami.

"Dasar keras kepala." Aku hanya tersenyum dan terus berjalan menuju ke tempat parkir. Lebih tepat, ke tempat sasaran.

***************

"Buat apa kat sini malam-malam nie?" Teguran seseorang membuatkan keadaan menjadi agak kelam kabut. Wita dan Eva serentak menjerit bila terdengar suara itu. Aku yang sedang memegang telefon bimbit untuk dijadikan sebagai alat penyuluh turut sama tersentak. Telefon kesayangan terpelanting tinggi dan akhirnya jatuh bertaburan di atas jalan.

"Aduhai!! Telefon aku!!!" Aku menjerit kecil. Kurang ajar betul siapa yang menegur nie. Tak pasal-pasal habis jahanam telefon aku. Perasaan tak puas hati buat aku toleh ke belakang. Ke arah suara yang menegur. Namun ternyata makian yang menjerit-jerit dalam hati hanya tersimpan rapi. Tuan punya kereta dah tercongok elok dekat sini. Macam tahu-tahu pulak niat jahat kami malam nie.

"Awak buat apa dekat sini sayang?" Soal Champ lagi bila pertanyaannya tadi masih tidak dijawab. Wajahnya nampak serius sedangkan di belakangnya Omar dan Duan tersengih-sengih melihat keadaan kami. Hantu punya budak!!

"Saja jalan-jalan ambil angin. Kan Eva? Kan Wita?" Aku pandang mereka. Tiada jawapan, hanya anggukan sebagai balasan dari keduanya.

"Dekat sini?" Champ seolah tidak percaya langsung dengan jawapan aku itu.

"Tak boleh ker?" Aku pandang dia.

"Tak takut hantu?" Kata-kata Champ buat Eva dan Wita merapatkan diri mereka pada aku sambil mata melilau melihat sekeliling.

"Merepek apa nie?" Walaupun perasaan takut ada bila perkataan hantu disebut, namun aku tidak boleh nampak lemah. Lebih-lebih lagi di hadapan Champ. Tidak sekali-kali.

"Takut?"

"Tak."

"Betul tak? Yang dekat belakang awak tu apa?" cabar Champ dengan wajahnya yang masih lagi serius seperti tadi.

"Ada apa belakang kita nie Ian? Aku tak berani nak tengok." Eva mula berbisik perlahan. Aku pasti saat ini tiada seorang pun antara kami yang berani untuk menoleh ke belakang.

"Dahlah. Jom balik bilik. Sebelum jadi yang bukan-bukan." Wita bergerak laju meninggalkan tempat parkir diikuti Eva.

"Awak nie menyibuk betul. Kat mana ada saya, kat situ awak ada." Luahan rasa tidak puas hati sempat aku hamburkan bila lalu di sebelah Champ. Langkah Wita dan Eva yang semakin laju di hadapan segera aku kejar. Namun terhenti bila pergelangan tangan yang dibaluti sweater tebal ditarik.

"Awak kena ingat sikit yer Mrs Champ-to-be. Saya tunang awak. T.U.N.A.N.G. Jadinya, kat mana ada awak, saya kenalah ada sekali. Faham sayang?" Champ tersenyum sambil mengenyitkan matanya pada aku. Pegangan tangan aku masih kemas dipegang seolah-olah tidak ingin dilepaskan.

"Saya nak balik bilik nie. Tak nak ikut sekali?" Cabar aku pada Champ. Dahlah misi menjahamkan tayar keretanya tak tercapai. Sekarang nie sibuk pulak asyik nak mengingatkan status dirinya dalam hidup aku.

"Boleh jugak. Jom!" Dengan selamba Champ sahut cabaran aku itu.

"Gila!" Tangan aku rentap. Senyuman Champ makin buat aku rasa sakit hati sangat-sangat. Kenapa, kenapa dan kenapa aku perlu berhadapan dengan lelaki ini dalam hidup aku.

"Orang gila nielah yang awak akan sayang sangat-sangat nanti." Kata-kata Champ 100% yakin yang aku akan terima dia dalam hidup aku. Dia memang begini. Apa saja yang dibuat sentiasa yakin. Dan tidak satu pun keyakinan itu menghampakan dia. Inilah yang paling aku takut.

"Huh! Bosan!!!" Rungutan aku hanya disambut dengan ketawa kecil Champ. Seolah-olah tidak berbekas langsung kata-kata itu padanya. Nampaknya percubaan pertama aku ini gagal. Inilah padahnya. TUHAN itu adil. Nak buat jahat, belum buat lagi dah kena tangkap. Padan muka!!!!

- TAMAT -

Jangan pelik yer kawan-kawan. Apa yang aku tulis nie hanya rekaan semata-mata. Nama pun Cerita Rekaan - Cerrek. Skali bunyi dah macam cerek air pun ada, Shrek pun ada ;) Tapi tak kisahlah. Aku saja suka-suka nie. Yang pentingnya apa saja yang aku tulis dan akan tulis dalam Cerrek nie nanti tak ada kena mengena dengan aku atau sesiapa pun kat muka bumi nie. Termasuklah Champ. Aku pun tak kenal dia siapa. Hehehe.... So, kalau ada terkurang, terlebih kat mana-mana, maafkan aku lah yer. Yg kurang semua datang dari aku. Ingat ok! Ini hanya suka-suka. Hanya untuk hiburan diri aku dan aku kongsi dengan korang semua :)

Mekasih sebab korang best sangat baca coretan aku nie. Jumpa dalam coretan aku lagi lepas nie.

Da....

♥ IaNda diaNa